Tuesday, January 20, 2009

Himpunan Solidariti Sejuta Umat Di Tangguhkan

Ceramah Umum ganti Himpunan Sejuta Umat

Ahmad Tajdid
Tue | Jan 20, 09 | 11:53:02 am MYT


KUALA LUMPUR, 20 Jan (Hrkh) - Himpunan Sejuta Umat di hadapan Kedutaan Amerika Jumaat, 23 Januari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan ekoran perkembangan terbaru di wilayah Gaza, kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub.

Ketika menghubungi Harakah sebentar tadi, Salahuddin berkata, keputusan Hamas untuk menerima pelan genjatan senjata dan pengunduran tentera negara pengganas Israel daripada wilayah Gaza mendorong PAS Pusat menangguhkan perhimpunan itu.

"Sebagai ganti, satu majlis ceramah umum 'Intifadhah Palestin & Kemenangan di Kuala Terengganu' akan diadakan pada tarikh yang sama di Markas Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar mulai jam 9.00 malam," jelasnya.

Ceramah umum anjuran Pemuda PAS Pusat itu akan membariskan Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Salahuddin Ayub, Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

Pungutan derma untuk tabung kemanusiaan Palestin juga, ujarnya akan diadakan pada malam itu.

"Orang ramai dijemput hadir untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan meraikan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di Kuala Terengganu," tambahnya.- tajdid _

No comments: