Saturday, June 21, 2008

Aku Semakin Tua

Alhamdulillah 2 hari lepas, genaplah usiaku 23 tahun. Sedar ataupun tidak sudah 23 tahun aku hidup dimuka bumi Allah ini, semakin meningkat usiaku, semakin "mati" itu menghampiri aku. Tapi sebagai manusia aku sering alpa dan leka seolah2 terasa bahwa masih panjang lagi tempoh ekhidupan ku di muka bumi ini. Ye lah, kan umat nabi muhammad usianya dalam lingkungan 60-70 tahun sahaja. Kalau sekarang 23 masih ade baki 40 tahun lebih kurang, hehe..

Tapi itu andainya dikira dengan pemikiran yang telah ditetapkan kita akan hidup lama. Akan tetapi mati itu tiada siapa yang tahu waktunya, dan ianya datang tidak cepat ataupun lambat walaupun hanya sesaat. Mati juga tidak kenal usia, apabila tiba masa yang telah ditentukan, maka akan datanglah malaikat izrael untuk mencabut nyawa baik kepada orang tua, orang muda, lelaki, perempuan, dewasa mahupun kanak-kanak. Tidak kira masa dan tempatnya, pasti ianya akan berlaku jua.

Oleh yang demikian jangan sangka usia yang muda pasti akan hidup lebih lama dari orang yang telah tua, manalah tau kita yang jalan dulu dari mereka. Boleh dikatakan sekarang ini hampir 80% umat islam diseluruh dunia telah terkena penyakit "wahan" sebagaimana yang disebutkan didalam hadis Rasulullah S.A.W. Apakah dia WAHAN itu?? WAHAN adalah penyakit cintakan dunia dan takutkan mati. Kalau kita tengok dari sudut makna sahaja kita sudah nampak kan betapa ramainye umat islam kini berlumba2 didalam mencari kesenangan hidup didunia tetapi semakin kurang pula yang berlumba-lumba untuk beribadah kepada Allah. Oleh kerana sayangkan harta dan kemewahan dunia, maka hati2 mereka pasti akan terdetik rasa takut untuk mati kerana masih belum puas lagi menikmati kehidupan.

Ye lah, kalau dah mati harta yang bertimbun-timbun semuanya sudah tak berguna lagi, hanya akan dibahagi-bahagikan kepada waris yang masih hidup. Kalau harta tersebut ditanam sekali didalam kubur bersama simati seperti yang dilakukan terhadap raja-raja zaman dahulu, nescaya harta-harta itu tidak akan membawa manfaat sedikit pun kepada simati. Yang akan menemani simati hanyalah amalannya. Kalau banyak amal solehnya maka si penemannya itu dalam keadaan baik dan wangi, namun sebaliknya jika amal ibadahnya kurang bahkan maksiatnya yang banyak, maka sipenemannya juga berada dalam keadaan hodoh dan juga berbau busuk.

Oleh itu, renung-renungkan lah wahai teman, mati itu tak mengenal usia, jadi sediakan bekalanmu. Dan ingatlah dunia ini hanya tempat persinggahan yang sementara untuk kita mencari bekal seberapa banyak yang boleh agar di destinasi seterusnya kita dapat hidup dengan selesa. Andainya kita diberi kemewahan didunia ini, ingatlah ianya hanya pinjaman sementara dana akn ditanyakan kemanakah kita gunakan segala harta dan kekayaan kita. Oleh itu belanjakan lah harta kita kejalan Allah sebagai modal untuk kita membina mahligai disyurga Allah kelak..

Berilah peringatan, kerana dengan memberi ingatan akan memberikan manfaat kepada orang-orang beriman. Dan sesungguhnya manusia itu berada didalam kerugian melainkan orang-orang yang beramal soleh, dan berpesan-pesanan kepada kebenaran dan juga berpesan-pesanan kepada kesabaran...

Friday, June 20, 2008

Hari Yang Meletihkan

Salam...

letihnye.... tu lah kalimah yang akan terkeluar dari bibir aku dan 4 orang kawan lagi. Hari ini seusai solat Jumaat, aku dan beberapa teman telah berangkat ke kota kaherah khasnya ke pasar husien untuk mencari sedikit cenderamata ataupun buah tangan untuk keluarga di tanah air. Dok sedap berjalan terlupa pula perut belum di isi sejak pagi tadi lagi, sebab itu tenaga jadi terkuras habis semasa berjalan. Kami hanya minum air sahaja bagi menambah tenaga sementara kerana dok asyik membeli belah, kesudahannya perut jadi kembung dengan air.. hehehee .... jangan amalkan selalu yer...

Malam ini aku tidur di rumah johor lama di abdeen, sesekali sambil membeli belah singgah ziarah rumah kawan2 lama yang jarang berjumpa kerana berlainan muhafazah atau cawangan kuliah. Dalam perjalanan kali ini aku mendapat satu lagi ilmu yang baru iaitu apa yang kita rancang kadangkala tidak semuanye berjalan dengan sempurna kerana Allah telah merancangkan sesuatu yang lain kepada kita. Seperti jadual perjalanan aku ke Kaherah, mula2 rancang pada hari Rabu lepas, namun oleh kerana ada tetamu dari Kaherah bertandang ke rumah jadi tak sedap juga nak berjalan, oleh itu perjalanan kami ke kaherah tertunda, dan dirancang semula pada hari khamis petang kerana boleh pergi sekali kenduri di rumah kawan di Abdeen. Namun perancangan kali ini juga digagalkan oleh Allah kerana salah seorang teman yang sama2 nak kesini ada mesyuarat, so terpaksa tangguh pada hari ini (jumaat).

Alhamdulillah perjalan kami ke sini berjalan lancar dan terus ke Husien untuk mencari barang2 yang dihajati. Selepas letih mencari barang, salah seorang kawan ingin mengajak ke kawasan Thamin untuk membeli ahan kekacang dan juga cokelat. Jadi kami pun pergi ke kawasan menunggu bas, bila dah lama menunggu terasa bosan dan mula risau kalau bas aliran Thamin( nama tempat) sudah tiada. Tiba2 salah seorang dari kami terperasan kedai kekacang di belakang tempat kami menunggu bas, kemudian apa lagi batal lah perjalanan ke Thamin kerana kawan2 yang berhajat nak beli kekacang telah beli kat situ. Pastu kami pun berpatah balik ke Abdeen untuk bermalam kat sini. Ade seorang kawan cakap " perjalanan hari ini banyak yang tak jadi dan terbatal tapi digantikan dengan benda lain, Sugguh hebat perancangan Allah".. Betul jugak apa yang dikatakan nya kan.. tu lah ilmu untuk perjalanan kali ini...

Sampai jumpa lagi wassalam...........

Thursday, June 19, 2008

Berwajah Baru

Salam...

Apa khabar teman2 pembaca sekalian, Semoga berada dalam keadaan sehat hendaknya. Kalau ada kawan2 yang view page aku dalam tempoh 2 hari ini, pasti akan berasa pelik kerana template nye sentiasa berubah-ubah. Maaflah, kerana aku sedang mencari-cari template yang sesuai untuk wajah baru blog aku ini. Kata orang, kehidupan ini perlu perubahan, oleh itu aku ubah bentuk "layout" blog aku ini agar korang tidak bosan. Kot lah kan ada yang sudah bosan dengan wajah lama.

Alhamdulillah persiapan untuk pulang semua sudah beres, baik dari buah tangan dan sebagainya, cuma masih dalam penantian kepilan print komferm tiket je lagi. Sebab tanpa benda itu, tiket aku masih berada dalam waiting list lagi. Semoga ianya dipermudahkan kerana hari keberangkatan aku sudah semakin hampir. Doakan urusan aku dipermudahkan yer kawan-kawan.

Sehari dua ini, bahang panas semakin terasa, membuatkan kan ramai yang tidak dapat lena dimalam hari, lagi-lagi lah kalau rumah yang tiada kipas, memang rase sulit nak tido. Kesudahannya selepas waktu subuh lah baru mate ingin terpejam dan terlena, kerana waktu itu baru terasa sedikit angin sejuk dan membuatkan mate memang suka nak tido.

Tiada apa lagi yang ingin aku kongsikan bersama dengan korang semua, kerana jiwaku sudah tiada disini, ianya sudah jauh merantau terlebih dahulu dari jasadku ke Malaysia. Oleh itu mood untuk mengarang dan menulis sesuatu jadi hilang. Tak mengapalah nanti ada apa2 yang aku rasa ingin lakarkan kat sini.. insya allah akan aku lakarkan juga.

Semoga berjaya buat teman-teman sekalian...

wassalam...

Sunday, June 15, 2008

Muhasabah Diri Sebelum Pulang

Salam...

sudah dua minggu imtihan berlalu, sudah dua minggu juga aku duduk tidak buat apa kerana cuti musim panas sudah pun bermula. Dalam keadaan panas yang agak membahang membuatkan kehidupan aku agak kurang selesa, meskipun sudah hampir tiga tahun aku cuba membiasakan iklim di mesir ini, namun ianya masih belum begitu stabil lagi. Saban tahun setiap kali musim panas, pasti bahang panasnya lebih terasa daripada tahun-tahun yang lepas begitu juga dengan musim sejuknya.

sedar tidak sedar sudah 3 tahun aku berada diperantauan, namun terasa seolah-olah bagaikan semalam aku baru memijakkan kaki di "Ardhul Kinanah" ini. Selama aku disini pelabagai peristiwa dan kenangan yang telah ku lalui baik yang manis mahupun yang agak pahit. Biasalah tidak semuanya kenangan itu manis, sudah pasti terselit juga kenangan-kenangan yang pahit atau masam, hehe... :) Namun dari pengalaman ini lah yang mendewasakan aku, dari seorang remaja kepada seorang dewasa yang mula bertapak dan mula mencuba untuk berfikir serta ingin tahu semua perkara yang berlaku di tanah air. Sekarang aku bukan lagi seorang kanak-kanak yang hanya akan mengangguk dan mengikut sahaja segala arahan yang diberikan, sebaliknya kini aku adalah seorang yang berfikir dahulu sebelum apa-apa tindakan yang akan ku lakukan.

Selama 3 tahun aku disini, bermakna selama 3 tahun juga lah aku berjauhan dari keluarga tercinta. Hanya suara mereka yang sering ku dengari tatkala internet menjadi penghubung komunikasi antara kami. Namun rupa mereka sudah pasti banyak berubah kan.. Mungkin rupa tua ayah dan ibu pasti telah mula kelihatan, kedut-kedut dimuka, putih rambut mereka serta kaburnya pandangan mereka pasti mula bertambah akibat dimamah usia. Adik-adik ku, yang dulunya ku tinggal yang bongsu masih lagi baru berusia setahun jagung, kini sudah memasuki alam persekolahan. Adik ku yang seorang lagi pasti sudah mula matang kerana telah memasuki usia awal remaja, sudah pun meninggalkan bangku sekolah rendahnya dan mula bersekolah di sekolah menengah. Yang seorang lagi sudah pasti semakin gagah dan mula pandai memikul tanggung jawab, kerana sepemergianku dialah yang menjadi abang sulong pada adik-adik yang lain.

Tahun ini insya Allah aku akan bertemu dengan mereka yang ku rindui dan ku sayangi, Alhamdulillah berkat rezki dari Allah, aku berkemampuan untuk pulang bercuti ke tanah air selama 4 bulan. Semoga cuti itu tidak ku persia-siakan waktunya sebaliknya mampu ku manfaatkan buat diriku, keluargaku dan masyarakat setempat. Menjadi kelaziman anak rantau, apabila pulang ke tanah air, sudah pasti tidak bertangan kosong, sebaliknya pulang dengan buah tangan dan cenderahati buat keluarga tercinta. Begitu juga denganku, dengan berbekalkan sedikit wang belanja, aku juga berhasrat untuk membeli sedikit buah tangan untuk keluargaku, namun kerana 3 tahun telah berpisah aku tidak tahu bagaimana bentuk tubuh mereka sekarang ini. Yang dulunya kecil kini sudah menjadi besar, yang dulunya kanak-kanak kini telah menjadi remaja, yang remaja pula kini sudah mula mahu memasuki alam dewasa. Aku berhasrat untuk belikan pakaian buat keluargaku, tapi adakah saiz mereka masih sama??? ataupun masa membuatkan fizikal mereka berubah.. Bingung juga aku dibuatnya... tak mengapalah, aku andaikan sahaja rupa mereka sekarang ini, mudah-mudahan andaian aku itu tidak jauh beza dengan keadaan sebenar mereka..

Buah tangan mungkin dalam persiapan, namun adakah aku sudah sediakan bekalan buat ku terjun ke medan perjuangan sebenar?? yang selama ini hanya menjadi buah bicara bibirku dan teman-temanku sahaja. Takkan 3 tahun duduk di perantauan tiada apa hasil yang bakal di beri kepada masyarakat yang menanti?? takkan kepulangan aku nanti hanya seperti masa kepergianku dulu, tiada apa-apa yang berubah, yang berubah hanyalah bentuk badan yang dulunya kecil kini sudah menjadi besar dan sehat.. :P.. Untuk itu, selain dari persiapan jasmani dan bentuk zahiriah seperti buah tangan dan sebagainya, persiapan rohani juga penting, kerana melalui pengalaman sahabat-sahabat yang telah pulang ke tanah air di waktu cuti yang lepas. Masyarakat sekarang ini amat perlukan orang-orang agamawan untuk menerangkan hukum-hakam yang mereka tidak tahu, mengajar kitab-kitab ilmiah kepada mereka, menjadi imam solat berjemaah di masjid ataupun disurau dan sebagainya. Adakah aku sudah bersedia???.. susah jugak nak jawab.. tepuk dada tanyalah iman kuat mana dah...

Oleh sebab itu, dalam masa seminggu lebih ini, sebelum pulang, kenalah rajin-rajinkan diri menghafal doa-doa, hafal bacaan tahlil, perbetulkan solat lima waktu dan solat jenazah(manalah tau kan kene suruh jadi imam, kang tak memasal leh ada ruku' lak kat solat jenazah kan pening..). Perbetulkan tajwid dan bacaan Al-Qur'an agar tidak lah menjadi fitnah kepada golongan agamawan lainnya akibat kekurangan kita. Bukan lah maksudnya balik nanti nak kene berlakon jadi baik, tapi paling kurang dengan ini seperti aku cakapkan tadi, kita tak lah menjadi fitnah kepada golongan agamawan lainnya. Andainya kita balik nanti tak ada apa perubahan yang kita bawa, maka masyarakat akan menganggap pemergian pelajar-pelajar malaysia ke mesir dan timur tengah hanyalah perbuatan sia-sia sahaja. Kan dah jadi fitnah cam tu, kerana kita seorang semua kene palit kotoran sama. So bekalan itu amat penting selain buah tangan.. ingat yer...

Panjang lak entry kali ini, tak pe lah, maybe pas balik kampung nanti jad jarang update ataupun sepanjang bercuti tak akan update blog, sebab kat rumah aku tak ada lagi kemudahan internet, almaklumlah orang kampung. Tapi kalau ada peluang dan ada benda yang aku nak kongsi, insya Allah aku akan rajn-rajin kan diri untuk menjengok ke cyber cafe.. Dan akhirnya, doakan lah agar perjalanan aku pulang dan kembali ke sini dalam keadaan selamat dan sejahtera hendaknya.. aminnn...

Thursday, June 12, 2008

PM Buat "JANJI" Lagi..

Minyak tidak naik lagi - Bagi kurangkan beban rakyat walaupun cecah AS$200 setong – PM

PUTRAJAYA 11 Jun – Harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini walaupun harga minyak di pasaran dunia dijangka berada pada paras yang tinggi pada bulan-bulan mendatang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bagi mengurangkan beban rakyat kerana kerajaan sedar rakyat sedang berusaha menyesuaikan diri dengan situasi harga minyak yang tinggi.

“Harga petrol dan diesel sekarang akan dikekalkan walaupun harga minyak dunia mungkin mencecah AS$200 setong pada tahun ini,’’ katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Rabu lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol dinaikkan sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter dan ia merupakan kenaikan 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sebelum itu.

Harga diesel pula turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58.

Perdana Menteri memberi jaminan harga petrol dan diesel itu akan dikekalkan walaupun ia mungkin akan menimbulkan kesukaran kepada pengurusan kewangan kerajaan memandangkan harga minyak terus meningkat.

“Kerajaan kena cari kaedah-kaedah lain untuk tanggung perbelanjaan tambahan melainkan kalau ada sebab-sebab lain yang perlu kita pertimbangkan semula, tapi sebagai satu keputusan waktu ini, itulah yang telah pun ditetapkan,’’ katanya. read more..>>

Berita manis seperti ini sering kita dengar dari pemimpin, namun apabila terdesak pasti harga minyak akan dinaik lagi. Seperti sebelum-sebelum ini, dikatakan harga minyak tidak akan dinaikkan lagi namun ianya tetap juga naik. Di manakah tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dalam mengaplikasikan perkataan atau janji-janji mereka?? Adakah sekadar untuk mengelabui rakyat semata-mata??

Semoga janji Pak Lah pada kali ini akan benar-benar ditunaikan.. kerana sekiranya harga minyak terus naik, maka dikhawatiri rakyat akan hilang sabar, sudah pasti himpunan rakyat secara besar-besaran seperti "BERSIH" akan berlaku lagi, bahkan mungkin kali ini akan lebih ramai lagi daripada himpunan "BERSIH".

Rakyat sudah tidak mampu untuk menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat sedangkan pendapatan masih dalam keadaan cukup-cukup sahaja. Apatah lagi mereka yang berpendapatan rendah pasti kehidupan mereka semakin sesak dan terbeban. Oleh itu pihak kerajaan hendaklah mencari alternatif atau jalan penyelesaian bagi krisis kenaikan harga minyak ini.

Monday, June 9, 2008

..:: Hanya Sebuah Tulisan ::..


salam...

Alhamdulillah exam sudah berlalu, usaha dan doa telah pun di lakukan, so sekarang ni kena tambah doa dan juga tawakkal dengan result yang bakal keluar. Lama jugak aku tak post apa-apa kat blog aku ni, dah cam blog terbiar, mesti teman-teman yang sering datang berkunjung merasa bosan dan jemu kerana tiada apa yang baru. Maaf sekali lagi, insya Allah lepas ini akan cuba untuk update blog sesering dulu.

..:: suasana kat sini ::..

Seperti yang tercatat di dalam takwim aku disebelah kanan bawah tu, lepas habih exam aku merancang untuk pulang bercuti ke Malaysia seawal mungkin. Oleh itu tarikh 25 ku pilih semasa buat tempahan tiket. Namun manusia hanya merancang, tetapi Allah juga yang menentukan segala-galanya. Tiket yang aku dah beli masih lagi dalam senarai menunggu, masih belum "comferm" (betul ke eja dia cam ni?) lagi, so sekarang aku hanya mampu berdoa agar tiket aku segera di setel kan, dan mampu untuk pulang sesegara yang mungkin. Kalau balik lewat sikit pun tak ada masalah sebenarnya cume biasa lah, dah 3 tahun dok diperantauan, bila dah rasa rindu nak pulang, dia akan jadi terlalu "excited" tak sabar-sabar nak pulang berjumpa keluarga dan kawan-kawan lama. Tak mengapalah, mesti ada hikmah yang besar Allah tetapkan buat ku yang aku tidak ketahui.

Sehari sebelum kertas peperiksaan yang terakhir ku hadapi Euro 2008 pun bermula, satu ujian yang agak besar gak tu, hehehe... sebab kepala tak boleh nak fokus untuk study tapi dok leka je tengok bola, kalau kat Malaysia dulu kene bangun kul 2 @ 3 pagi untuk melayan bola, tapi kalau kat sini dia bermula seawal pukul 7 malam. So tak ade masalah kalau nak tengok game-game bola daripada "Liga Juara-juara Eropah" sampailah "Euro 2008". Sebab ade bola, aku habis kan lah waktu malam bermula dari 7/6 hari tu hingga 29 ni di rumah sahaja, tanpa keluar kemana-mana, hehehe.. tapi kalau ada kepentingan keluar jugak kot... aku mendoakan kepada kawan-kawan yang belum habis exam lagi tu, semoga dipermudahkan dan wat lah yang terbaik dalam exam yer.. semoga kita sama-sama berjaya tahun ini..

..:: Isu Semasa ::..

Sebagaimana yang kita maklum, minggu lepas satu berita yang amat sangat tidak ingin kita dengar telah pun berlaku. Harga minyak telah naik sehingga hampir 60% dari harga asal, kita pasti sudah tahu ataupun terbayang apakah yang akan berlaku impak dari kenaikan harga minyak tersebut. Sudah pasti harga barang-barang juga akan naik kerana kos penyelenggaraan seperti pengangkutan dari kilang ke peruncit akan meningkat, atas alasan tersebut sudah pasti harga barangan runcit juga pasti akan naik sedikit untuk mengatasi masalah tersebut. Tak kan lah pekedai membeli dengan harga baru dari pengilang atau pemborong kemudian dia akan menjual dengan harga biasa kepada pengguna?? sudah pasti peniaga juga akan menaikkan sedikit harganya untuk mendapat kan keuntungan.

Berkenaan dengan isu minyak ini, boleh di katakan semua artikel di blog-blog, status di yahoo messenger serta email bercerita mengenainya. Kerana kenaikan harga minyak membawa impak yang besar terhadap rakyat ataupun mereka yang berpendapatan di dalam kategori rendah dan menengah, yang bergaji besar tu maybe tak merasa sangat sebab lebihan gaji tu banyak. Tapi cuba kita bayangkan keadaan mereka-mereka yang berpendapatan bawah seribu sebulan, bagaimana mereka nak menyara diri dan keluarga mereka?.. sekarang ini, gaji RM1500 pun tidak mencukupi belanja isi rumah, apatah lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga yang perlukan wang untuk pendidikan anak-anak, sudah pasti ianya memberi bebanan pada ketua keluarga.

Bagi anak-anak rantau yang belajar tanpa bantuan mana-mana pehak seperti aku dan sebahagian kawan-kawan disini, kenaikan harga minyak dan barang juga pasti akan membebani keluarga di kampung yang sudah lah tiap bulannye terpaksa menanggung pembelajaran kami disini ditambah pula dengan meningkatnya perbelanjaan disana. Terasa benar beban dan kesakitan yang bakal mereka rasa hanya kerena ingin melihat kejayaan dari aku. Insya Allah semoga pengorbanan keluarga di kampung menjadikan bara semangat di dalam hatiku untuk lebih bersungguh dalam study, dan mampu membalasnya walaupun bukan lah itu yang mereka harapkan dari aku. Yang amat mereka harapkan ialah agar aku dan adik-adik ku menjadi insan yang soleh dan berguna bagi agama, masyarakat dan negara.

Mudah-mudahan akan adanya satu perubahan alam pengurusan kewangan dan perbelanjaan negara, dengan yang demikian itu nasib rakyat yang berpendapatan rendah terbela dan mereka tidak perlu hidup dalam penderitaan akibat dari kenaikan harga barang, harga minyak, tol dan sebagainya....

p/s : negara memerlukan satu reformasi agar mereka yang berada di kerusi empuk pimpinan itu sedar akan tanggung jawab yang mereka abaikan.

Sunday, June 1, 2008

..:: Ketagihan Komputer @ Internet ::..


Adakah kehadiran teknologi maklumat dan internet dalam dunia ini telah menjadikan sesetengah kelompok individu menghidapi sejenis penyakit atau kecelaruan yang dikenali sebagai ketagihan internet (internet addiction disorder) atau pun ketagihan komputer? Adakah ia sejenis penyakit baru, yang sebelum ini tiada dalam istilah perubatan? Atau mungkinkah sejenis gangguan yang telah sedia ada dalam diri individu terbabit, sama seperti ketagihan dadah dan arak, tetapi ia berlaku disebabkan oleh komputer dan internet? Adakah komputer atau internet juga boleh menyebabkan ketagihan?

Ini merupakan satu aspek yang perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi banyak laporan dan kajian memang mengakui terdapat individu mengalami ketagihan komputer dan internet. Apakah ketagihan internet? Persoalan yang amat sukar dijawab tetapi perlu dijawab berdasarkan kepada fakta dan kajian yang kukuh. Adakah ketagihan internet atau ketagihan komputer ini berbeza dari ketagihan yang lain seperti ketagihan dadah, arak, rokok dan sebagainya? Dan apakah kesan dari ketagihan internet? Perlu juga difikirkan.

Kajian sains mendapati manusia sebagai makhluk yang paling mudah mendapat ketagihan dalam kehidupan mereka, walaupun pada masa yang sama mereka amat takut menjadi seorang penagih. Sememangnya terdapat banyak perkara yang boleh mendatangkan ketagihan seperti makan, membeli belah, menonton, membaca dan lain-lain. Malah ada individu yang ketagih bekerja. Tetapi mengapa ada individu lain yang juga menonton, bekerja, makan dan membeli-belah, tetapi tidak mengalami ketagihan?

Dunia perkomputeran, teknologi maklumat dan internet juga sudah tentu boleh membuat seseorang menjadi ketagih. Mengapa? Ini kerana mereka semua mampu melayan segala macam keperluan yang diidami setiap individu, dari keperluan naluri seksual, mental, emosi dan intelek sehinggalah keperluan spiritual. Mereka umpama sahabat dan rakan kepada mereka. Malah ada individu yang menganggap komputer dan internet sebagai sebahagian dari diri dan kehidupan mereka dan mereka akan dirundung rindu resah dan gundah gulana sekiranya tidak berpeluang "melayan sahabat" mereka ini.
Kajian yang dijalankan oleh
Netaddiction. com mendapati ada lima kategori bahan kandungan dunia siber yang berisiko tinggi menyebabkan ketagihan seperti berikut:

1. Ketagihan seks siber : cenderung melawati laman web porno, chatting room berkaitan seks dan lain-lain
2. Ketagihan hubungan siber : keinginan yang kuat untuk berhubung sama ada melalui email, chatting, diskusi dan sebagainya
3. Ketagihan maklumat : mudah dipengaruhi oleh laman-laman web berunsur ehwal semasa, pencarian maklumat dan pengkalan data
4. Ketagihan komputer : terpengaruh dengan peralatan teknologi perkomputeran, ciri-ciri komputer cip dan kad, sistem bunyi dan lain-lain
5. Ketagihan permainan komputer : mudah lalai akibat taksub bermain permainan komputer sehingga sukar berhenti

Sebenarnya bagi mengenal pasti samada penggunaan terhadap komputer dan internet menyebabkan ketagihan atau sebaliknya bergantung kepada cara dan konteks serta keperluan yang ada dalam diri seseorang individu. Di samping itu, perkara seperti berikut juga harus lah diberi perhatian bagi menilai tahap kebergantungan kepada komputer dan internet yang boleh menyebabkan ketagihan:

1. Lebih banyak menghabiskan masa di depan komputer berbanding biasa atau melebihi keperluan penggunaan yang sewajarnya
2. Masa untuk melayari internet semakin bertambah dan menjejaskan peranan sebagai seorang individu, pelajar, atau pekerja dan juga menjejaskan tahap produktiviti dan kesejahteraan hidup yang biasa
3. Berasa kurang yakin atau gagal untuk mengawal diri dari pengaruh internet
4. Semakin kurang tumpuan kepada penjagaan kesihatan diri dan pembahagian masa sewajarnya berbanding biasa
5. Muncul tekanan perasaan seperti marah, kecewa dan sedih yang berkaitan secara langsung dengan komputer dan internet dan mula mengasingkan diri dari masyarakat
6. Wujud rasa bosan atau bimbang dan cemas yang keterlaluan jika tidak melayari internet untuk jangka masa tertentu
7. Penggunaan internet yang mengakibatkan kemarahan atau gangguan kepada orang lain seperti ibu bapa, suami atau isteri dan boleh menyebabkan pertengkaran.

Seseorang yang ketagih internet dan komputer didapati gagal memberi tumpuan yang baik terhadap kehidupannya sepeti biasa. Kehidupan individu yang normal terjalin apabila ia dapat mengekalkan peranannya sebagai seorang manusia yang normal, mewujudkan perhubungan yang baik dan memelihara kesihatannya secara optimum. Bagi mereka yang ada ketagihan ini , peranan dan perhubungannya dengan individu lain dalam lingkungan hidupnya terjejas. Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, strategi dn langkah berikut boleh lah diberi perhatian:

1. Tetapkan objektif dan matlamat sebelum melayari laman web atau menggunakan komputer dengan mengenalpasti tujuan-tujuan penggunaan mereka
2. Tetapkan melayari laman-laman web yang tertentu dan yang perlu sahaja, atau sekadar memenuhi keperluan yang dikehendaki agar tidak melebihi had dan bagi mengelakkan melayari laman yang tidak perlu
3. Hadkan atau tetapkan jangkamasa yang diperlukan ketika menggunakan komputer dan ketika melayari laman siber bagi mengelakkan pembaziran masa
4. Bahagikan masa yang sewajarnya antara kehidupan di dunia siber dan kehidupan di alam nyata supaya wujud keseimbangan
5. Jadikan ruang siber dan internet sebagai sumber pengetahuan untuk meningkatkan peranan menjadi seorang manusia yang sempurna dan untuk menambah kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan

Kesimpulan

Teknologi maklumat dan internet sememangnya mempunyai kesan yang amat besar dalam kehidupan manusia. Dalam aspek kesejahteraan individu dan hubungannya dengan teknologi maklumat, terdapat satu tindak balas yang saling pengaruh mempengaruhi antara satu ama lain. Memandangkan hubungan dan kaitan yang rapat antara manusia dan teknologi maklumat ini, tidak hairanlah terdapat antara mereka yang tenggelam dalam dunia siber, di samping mereka yang menggunakan internet sebagai saluran untuk mencapai keseronokan peribadi semata-mata. Hanya mereka yang mampu mewujudkan keseimbangan antara aktiviti internet dan kehidupan sebenar sahaja yang dapat mempertingkatkan kesejahteraan dalam urusan kehidupan mereka untuk kebaikan sesama manusia.

sumber : e-mail

p/s : segala sesuatu jika dilakukan dengan melampau atau berlebihan dari kehendak, pasti akan menimbulkan masalah dan mudharat. Walaupun perkara tersebut pada asalnya baik, seperti makan, makan adalah satu keperluan didalam kehidupan manusia, namun jika melampau dalam makan pasti akan membawa mudarat akibat menghidap obesiti dan sebagainya.