Minyak tidak naik lagi - Bagi kurangkan beban rakyat walaupun cecah AS$200 setong – PM
PUTRAJAYA 11 Jun – Harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini walaupun harga minyak di pasaran dunia dijangka berada pada paras yang tinggi pada bulan-bulan mendatang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bagi mengurangkan beban rakyat kerana kerajaan sedar rakyat sedang berusaha menyesuaikan diri dengan situasi harga minyak yang tinggi.
“Harga petrol dan diesel sekarang akan dikekalkan walaupun harga minyak dunia mungkin mencecah AS$200 setong pada tahun ini,’’ katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.
Rabu lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol dinaikkan sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter dan ia merupakan kenaikan 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sebelum itu.
Harga diesel pula turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58.
Perdana Menteri memberi jaminan harga petrol dan diesel itu akan dikekalkan walaupun ia mungkin akan menimbulkan kesukaran kepada pengurusan kewangan kerajaan memandangkan harga minyak terus meningkat.
“Kerajaan kena cari kaedah-kaedah lain untuk tanggung perbelanjaan tambahan melainkan kalau ada sebab-sebab lain yang perlu kita pertimbangkan semula, tapi sebagai satu keputusan waktu ini, itulah yang telah pun ditetapkan,’’ katanya. read more..>>
Berita manis seperti ini sering kita dengar dari pemimpin, namun apabila terdesak pasti harga minyak akan dinaik lagi. Seperti sebelum-sebelum ini, dikatakan harga minyak tidak akan dinaikkan lagi namun ianya tetap juga naik. Di manakah tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dalam mengaplikasikan perkataan atau janji-janji mereka?? Adakah sekadar untuk mengelabui rakyat semata-mata??
Semoga janji Pak Lah pada kali ini akan benar-benar ditunaikan.. kerana sekiranya harga minyak terus naik, maka dikhawatiri rakyat akan hilang sabar, sudah pasti himpunan rakyat secara besar-besaran seperti "BERSIH" akan berlaku lagi, bahkan mungkin kali ini akan lebih ramai lagi daripada himpunan "BERSIH".Rakyat sudah tidak mampu untuk menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat sedangkan pendapatan masih dalam keadaan cukup-cukup sahaja. Apatah lagi mereka yang berpendapatan rendah pasti kehidupan mereka semakin sesak dan terbeban. Oleh itu pihak kerajaan hendaklah mencari alternatif atau jalan penyelesaian bagi krisis kenaikan harga minyak ini.
No comments:
Post a Comment